Sunday, June 1, 2008

Iqra' ...


Ayat IQRA' merupakan satu yang paling sinonim dengan semua Muslim di dunia. Ia merupakan ayat pertama yang diminta Rasulullah S.A.W membacanya oleh malaikat Jibril sewaktu Rasulullah SAW menerima wahyu ketika diangkat menjadi Rasul di Gua Hira'.

Ayat yang membawa erti BACALAH ... merupakan rujukan utama umat Islam terutama apabila membicarakan tentang menuntut ilmu dan falsafah ilmu itu sendiri.

Berdasarkan rujukan unggul inilah, adalah dirasakan pihak pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membina sebuah arca yang dibuat dari Stainless Steel di bulatan utama pintu masuk Utama USIM, berhadapan bangunan pentadbirannya. Arca yang dilengkapi dengan perkataan IQRA' itu akan menjadi tumpuan pertama setiap pengunjung, pekerja, pelajar, ibu bapa dan siapa sahaja yang memasuki kampus ini.

Adalah diharapkan USIM akan memertabatkan ilmu ini ke tempat yang sepatutnya di mana proses pengajaran dan pembelajaran, bukan sahaja kepada para pelajarnya, malahan kepada semua kakitangan serta insan-insan lain yang terlibat dengan pembangunan serta pentadbiran IPTA ini.
Segala urusan harian dari bermulanya pembinaan kampus hinggalah ke proses penggunaan danpentadbirannya hendaklah berlandaskan kepada konsep IQRA' ini di mana segala urusan hendaklah berasaskan kepada ILMU yang Allah berikan dan digunakan ke jalan yang betul.
Maksud :
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku....
(Surah Al-'Laq, ayat 1-2)

Surah ke-96 ini diturunkan di Makkah mengandungi 19 ayat. Ia dinamakan al-'Alaq yang membawa maksud 'sebuku darah beku'.

Di antara pengajaran dari ayat-ayat surah ini ialah :
  1. Allah Tuhan Semesta Alam, Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, yang wajib diingati dan dipatuhi dalam semua keadaan;
  2. Manusia yang telah diciptakan oleh Allah Ta'ala dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai keistimewaan berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain;
  3. Nikmat ilmu pengetahuan telah diajarkan oleh Allah Ta'ala kepada manusia melalui pena dan tulisan;
  4. Allah Ta'ala menggambarkan sifat-sifat dan tabi'at sesetengah manusia : Apabila ia senang lenang dan banyak hartanya, ia berlaku sombong bongkak, lupakan Allah yang mengurniakan nikmat kepadanya, tidak menghiraukan suruhan Allah dan larangan-Nya, sehingga akhlak dan budi pekertinya tidak lagi berperi-kemanusiaan..
(petikan dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, m.s.1703)

Semoga tertegaknya arca IQRA' ini akan sentiasa memberikan peringatan kepada kita tentang ilmu serta kejadian diri kita yang akan kembali kepada-Nya kelak.