
The moon images snapped at Pagoh R&R, North-South
Highway on 16 Rejab, 1429 (18-July-2008)
Yesterday was 15th. Rejab, 1429 ; it is confirmed by the shape or appearance of the full moon which normally coincides with the middle of the Islamic Calendar month.
The month which is also known as the 'Month of Allah' has more 50% gone without us realising it and next month will be Sya'ban, the month of Ar-Rasul S.A.W.
It is going to be very soon that the beloved month of Ramadan will come where the rahmah and bounties from Allah S.W.T will be rushing down to mankind. The fasting month is the month where all muslims are eagerly waiting for ...
Let us browse through an extract from www.al-qayyim.net (in Bahasa Malaysia) as a reminder to all of us about the month where we are presently in.
AMALAN DI BULAN REJAB: ANTARA YANG PALSU DAN TULEN 
  Oleh: 
 Abd al-Razzaq bin Abd Muthalib 
  Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab-Nya serta  menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai  syari'at kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan  supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah SWT di dalam semua  keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk  seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud: 
 
 "Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan  diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56). 
 
Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala  bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya  dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara  yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk  ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah  swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
 
"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya,  hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di  dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat 110). 
 
Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik   hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya  kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun  untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah  dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). 
 
(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’,  cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147). 
 
Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin  ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan  penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika  dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima,  sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas  itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu  pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw. 
 
(Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah  al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15). 
  
Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya. 
 
Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan  yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di  zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini.  (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215) 
 
Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini  dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan  dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan  tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang  memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah  Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan  memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan  sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw. 
 
Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini  yang tidak menepati sunnah  Rasulullah saw ialah: 
  
1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa  al-Mi’raj. 
 
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj  merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah  Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw  serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam  bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka  sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan  amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi  pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah  bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya  peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut  tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut  tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit  daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah  diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau  sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga  tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan  yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan  kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak  melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan  malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan  panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini  pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta  akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita. 
 
(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan  ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7). 
 
2) Solat Raghaib 
 
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan  oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan  Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun  yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan  solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu  dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat  surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas  sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan  apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian  membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi),  kemudian sujud dan  membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa  al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam)  sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di  sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan  ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya,  tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini  melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di  lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada  hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…))  
  
(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2,  m/s 124-125). 
 
Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke  atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham  yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para  rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di  dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka). 
  
Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu  ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya  adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat  para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)). 
 
Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang   solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang  hukum mengerjakan solat tersebut. 
 
Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang  ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai  percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan   mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang  bernilai dan bermutu  yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang  yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil  tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya   adalah terlalu banyak dan tidak terhitung. 
 
(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah,  cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262. 
 
Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah  pendapat tentang  kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan  oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat  Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya  serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang  menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan  yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta  dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq  mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)). 
 
(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149) 
 
Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan)  ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di  kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy,  Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara  ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas  daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400  tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak  mengetahuinya dan tidak membincangkannya 
  
(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228) 
 
Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat  Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka  semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid  ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya  kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta  al-tabi’in.. 
 
3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap  ianya mempunyai fadhilat yang khas. 
 
Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau  sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat  yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka  yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau  hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang  maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh  golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam  kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang  tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah: 
 
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu  Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw  bersabda: 
  
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka  barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan  pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan  ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua  hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap  ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari  bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang  panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan  Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih  al-Dajjal dan dari azab kubur…."
 
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’. 
 
2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa  Rasulullah saw bersabda: 
  
"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang  berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu  tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan  baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab  maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…" 
 
Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin  ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith. 
 
3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: 
 
 "Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang  berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu  menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun". 
 
Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid  susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil. 
 
Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang  tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini.  Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di  bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh  akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip  asas agama. 
 
Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat  hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus  bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa  sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus. 
 
(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23). 
 
Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau  pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan  Rejab. 
 
(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut:  Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63). 
 
Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam  satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa  yang diriwayatkan  mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber.  Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya  dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)). 
 
(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440). 
 
Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain  yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau  menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat  pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi. 
 
Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini  dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan  Rejab. 
 
Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam  bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang  mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh  Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali  penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang  dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan  kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah  yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan  keikhlasan kepada Allah swt.